Senario Senario Banjir

Disaat kita mengharapkan malapetaka ini tidak berlaku lagi, sayangnya ia berlaku. Setelah empat tahun diberikan Tuhan masa untuk melakukan perubahan, menyelesaikan masalah kemiskinan, sampah-sarap, lubang longkang yang kecil, namun kegagalan telah tiba apabila Kelantan sekali lagi dilanda bah.

Selepas empat tahun, berita tentang bah yang telah membahayakan ribuan nyawa sehingga berlakunya evakuasi dari kawasan perdalaman ke kawansan-kawasan dewan yang terselamat mengingatkan aku kepada peristiwa pahit manis asam garam terperangkap di kawasan Matrikulasi hampir satu minggu atau lebih tanpa air, ada hari tiada eletrik, tiada makanan di cafe, tiada kelas kerana para pensyarah juga terperangkap untuk pergi dan balik ke Matrikulasi.

Sudah hampir tiga hari hujan tidak berhenti. Tiada lagi sinaran matahari, dunia pun terasa gelap seketika. Keadaan semakin parah apabila tiada air bersih buat masakan jauh sekali mandian dan urusan lain. Dari kolej kediaman ke kuliah ke pejabat semuanya kering. Pili bomba pun habis digunakan semua. Menteri Besar Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada hari itu. hari Ahad. Di Kelantan Ahad itu adalah Monday blues bagi orang KL. Syukur kata Tuhan.

Pada waktu itu mahasiswa/ mahasiswi diminta untuk tidak memberitahu keluarga atau orang awam tentang kesusahan yang dialami. Sesiapa sahaja yang didapati memberitahu di laman sosial akan diminta untuk memadam supaya nama baik matrikulasi tidak tercemar. Masakan tidak, pada masa-masa tiada air itu kami semua mandi dan menadah air buat bekalan di tandas di parit/ longkang belakang kolej kediaman. Ya mungkin ia adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan tetapi seringkali bila diingat semula, aku berasa marah. Marah ini bukan pada hal mandi di parit itu tetapi bagaimana kita diminta untuk mendiamkan diri, jika tidak akan dimarahi.

Senario beginilah juga orang-orang miskin dimarahi apabila tidak bekerja keras, apabila merungut, apabila hanya tahu meminta-minta. Beginilah orang bawahan dimarah apabila kononya tidak mengikut ‘the right channel’ apabila mahu menyuarakan sesuatu. Padahal sebesar-besar bah yang menghanyutkan ratusan rumah pada waktu itu takkan tidak mampu lagi membuka mata orang berkuasa tentang masalah yang dihadapi. Apa pada waktu itu masih lagi harus ikut jalan birokrasi?

Senario beginilah juga bagaimana para isteri sering ditindas. Dipukul suami, dihenyak, tetapi apabila diberitahu keluarga dimarah kerana tidak mendengar kata suami. Diberitahu awam dikatakan membuka aib lelaki. Diberitahu pada hakim diminta pula dua orang saksi. Nah, dimana keadilan dalam ‘the right channel’ ini?

Senario beginilah juga pada para pelarian di dalam negara ini. Dibiarkan, tidak dapat meminta kerja, tiada ruang untuk mencari nafkah, disuruh kembali pada negara asal bakal dibunuh. Apabila mereka kerja secara haram, minta sedekah ditepi jalan, terbaring lena di jalan panggung, ditahan pula dalam pusat tahanan atas alasan dilarang bekerja. Punyalah ramai mereka di tanah ini, sudah ratusan ribu, begitu banyak habis keluar masuk dalam tahanan, bayar wang polisi ribuan ringgit atas nama kebebasan yang palsu, masih lagi tiada mekanisme untuk menyelesaikan masalah ini?

Masih aku ingat, pada hari dimana semua mahasiswa/mahasiswa disusun satu barisan panjang dari depan bahagian matrikulasi sehingga dibahagian belakang bilik kuliah ke kolej kediaman, ada berita baik, ada helikopter akan turun menghantar bekalan makanan. Bekalan yang sudah berhari-hari dikatakan akan tiba. Sayangnya sudah hampir dua ke tiga jam, satu per satu helikopter berlalu tanpa ada yang singgah. Iya, iya barangkali ada banyak yang lain yang lebih memerlukan. Tapi sayang, ini juga buat aku marah. Sekali lagi, marah-marah ini bukan pada paket gula atau tin sardin yang tidak muncul tiba, tetapi bagaimana berita atau informasi tentang pertolongan atau penyelesaian itu sebenarnya hanya palsu, malah juga tidak menyelesaikan masalah.

Senario ini sangat kita fahami bukan? Lihat sahaja nasib para nelayan yang dijanjikan negara yang adil tetapi laut mereka diambil ditambak beratus ekar atas nama pembangunan yang bakal dijual pada kaum pelabur dari negara lain. Kononya, tangan kanan memberi BR1M, tangan kiri sibuk menjual tanah sebesar-besar untungnya. Datang mula helikopter tua yang kononya juga mahu menyampaikan bekalan buat sisa-sisa hidup para marginal, tetapi sebaliknya hanyalah kata-kata nista, ‘kamu yang malas! Banyak masa dibazirkan!’

Senario ini jugalah digunakan para-para agamawan, para pencetus ummah, para Daie! Nah. Nah. Nah. Agama datang mengangkat martabat wanita. Agama membebaskan wanita. Tinggi darjat wanita dalam syurga. Auranya indah bak Khadijah. Sinar bagai sang suria. Lembut bagai sutera. Hati kata kahwinlah, ini sunah nabi. Jiwa kata tidak cukup, aku mahu seks lagi! Mulut kata, ini poligami. Seks halal buat kami.

Senario paling berat adalah sembang berat tentang agama dan pembebasan, agama adalah penyelesaian, menangis air mata, menadah tangan pada tuhan, selamatkan saudara seagama di Palestin, di Syria, tolak Israel, mari menyokong Hitler, bunuh para pembunuh, tetapi yang disekeliling sini pun dibiarkan sepi. Dibiarkan mati dalam tahanan. Berhimpit tidak berpakaian. Duduk dan diri bersilih ganti. Disitulah kencing dan taik. Disitulah tidur. Disitulah agama yang kita tangisi tadi.

The right channel ini seperti mereka yang berbaris panjang untuk helikopter, kewujudannya ada, dilihatnya terbang, lampu merah berkelip di hujung ekornya, tetapi tidak pernah turun kebawah. Tunggulah, seribu tahun lagi pun tidak ada apa-apa. Tunggu saja. Mungkin sambil itu boleh bertaqwa.