Ketuanan Islam di Bulan Ramadan

Bukan sukar untuk kita ketemukan perihal ketuanan Islam kini di akhbar atau media sosial. Setiap hari akan adanya individu atau kumpulan yang menciptakan rasa kegusaran dan ketakutan kepada umat Islam lainnya. Perbahasannya akan berhujung pada Islam sudah terancam dan maruah Melayu sedang digadaikan. Hal ini telah menunjukkan bahawa idea ketuanan Islam yang mereka cuba pasakkan lama-kelamaan sudah meresap dalam pemikiran sebilangan masyarakat. Selepas itu, berbondong-bondonglah masyarakat terpancing dengan sentimen ini yang kebanyakan digerakkan oleh lasykar siber. Paling menggusarkan sekiranya idea ini dijelmakan pada publik terutama sekali kepada murid-murid sekolah. Apakah yang akan terjadi pada sebuah tatanan masyarakat yang merangkumi masyarakat berbilang kaum dan agama seperti kita pada masa hadapan?

Untuk memahami fenomena ini, harus kita kenal pasti dahulu bilakah peristiwa ini disemarakkan dan mengapa ia menjadi satu propaganda yang ampuh lalu mencipta ramai pengikut dibelakangnya? Jika kita mengikuti kajian sosiologi ilmu yang diperkenalkan oleh Karl Mannheim menerusi bukunya Ideology and Utopia, beliau menjelaskan bahawa setiap ideologi yang berlangsungkan pasti akan ada pertarungan. Bermaksud akan adanya ideologi melawan ideologi yang berlaku dalam masyarakat. Persoalan yang paling besar adalah ideologi yang dikedepankan itu menguntungkan pihak yang mana satu? Adakah ideologi itu memelihara kedudukan sesuatu pihak atau mengkritik kekuasaan yang semberono? Nah maka dari sini, dapat kita lihat maraknya ideologi ketuanan Islam yang lahir selepas ideologi ketuanan Melayu.

Mahu atau tidak kita perlu melihat dari sisi sejarah. Profesor Cheah Boon Kheng, seorang sejarawan pernah menganalisis kejadian awal konsep ketuanan ini berlaku. Secara ringkasnya dalam catatan Bintang Merah di Langit Malaya, Cheah menjelaskan bantahan terhadap Malayan Union merupakan sumber idea kepada politik berkonsepkan bangsa. Jadi idea bangsa boleh dipropagandakan untuk mendapatkan kuasa. Setelah selesai kemerdekaan elit yang mengambil kuasa pemerintahan memperkenalkan konsep ketuanan supaya mereka terus dipilih sebagai pemerintah waktu itu. Dominasi kuasa ini adalah pelajaran dari kolonial dan juga psikologi feudal dahulu. Akhirnya mewujudkan satu etika autoritarian yang memaksa bangsa Melayu khususnya pada waktu itu menuruti kehendak pemerintah sekiranya mahu terus hidup selesa. Bagai lembu dicucuk hidung akhirnya ia meresap dalam pemikiran masyarakat.

Ideologi ini telah berlangsung sekian lamanya, sehinggalah pada pilihanraya ke-14 gergasi politik besar iaitu UMNO telah berjaya digugurkan sedikit sebanyak ia telah mengakibatkan keguguran ideologi dan ketidaktahuan kumpulan yang selama ini memegang kepada ideologi itu. Jika sebelum ini idea ketuanan Melayu sering digemencarkan untuk meraih persepsi dan mendapat undi, kini muncul pula sebuah lagi parti politik yang menggabungkan entiti yang membawa persona agama dan bangsa iaitu Perikatan Nasional. Akhirnya muncul perilaku yang saya gelarkan sebagai ketuanan Islam. Idea ini muncul dengan satu tujuan iaitu bagi mendapatkan kuasa dengan menunggang sentimen agama secara ekstrem. Sentimennya mudah, sesiapa yang berlainan fahaman agamanya akan dimusuhi lalu dijadikan modal politik. Lama-kelamaan diserap masuk dalam budaya, bagi yang taksub akan merealisasikan tindakan ini.

Ciri-Ciri Ketuanan Islam

Untuk memahami ketuanan Islam harus terlebih dahulu mengetahui apakah ciri-ciri ketuanan Islam tersebut. Antara cirinya a) memaksakan interpretasi agama versi mereka kepada semua masyarakat tidak kira dalam agama yang sama mahupun berlainan, b) cepat menghukum tindak tanduk yang berbeza dengan interpretasi mereka, c) melahirkan sifat ketaasuban sehingga melahirkan rasisme, prejudis dan absolutis, d) tergerak dengan kekuasaan politik melebihi dari mendirikan pesan rahmatan lil alamin, e) melahirkan bahasa pertentangan bukan bahasa perdamaian dan kebersamaan. Ideologi ini lebih mengangkat hal identiti berbanding ekonomi. Identiti dikedepankan untuk membuktikan secara historis kekuatan supaya yang lain boleh tunduk, mendengar dan mengikuti.

Manifestasi Ketuanan Islam di Bulan Ramadan
Kita mulakan manifestasi ini dengan kantin sekolah yang dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan. Keputusan ini mengundang kemarahan di media sosial dan akhirnya membawa ke dunia realiti. Bagi mereka yang jahil toleransi dan kefahaman hidup dalam masyarakat majmuk menganggap bahawa tindakan ini sudah mempersendakan agama. Sepatutnya kelompok non-Muslim harus dididik untuk menghormati orang yang sedang berpuasa tanpa difikirkan kanak-kanak darjah satu Muslim yang baru mulakan persekolahan. Kesemua itu tidak ada dalam kefahaman agama versi mereka. Mentelah lagi versi yang cetek itu dipaksa-paksakan pula pada institusi supaya dilaksanakan. Ini didorong oleh idea ketuanan Islam tadi. Maka menjadi kacau bilau dan lintang pukang dibuatnya.

Kemudian, dalam satu berita yang disiarkan menuliskan tentang “Nafi warga Bangladesh takluk masjid” Di dalam laporan tersebut ada dicatatkan “Kami menyantuni mereka sebagai saudara seagama, tiada isu besar kepala atau cuba takluk masjid kerana kami yang mengawal mereka,” kata Pengerusi Masjid Al-Azim, Taman Semarak, di sini, Md Fakarudin Ab Rahman. Sepatutnya hal ini tidak menjadi sebarang masalah kerana jelas Islam amat memelihara semua bangsa tidak kira warna kulit lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Bulan di mana kelaparan dan kesengsaraan dirasai oleh semua untuk merefleksi diri. Sepatutnya saudara sesama Islam berlapang dada dan menerima tanpa ada prejudis dan syak wasangka. Memang jelas merekalah kelompok rentan yang harus dibantu kerana mereka jauh dari keluarga dan hidup pada paras miskin. Rahmatan lil alamin tidak menjadi bahasa yang dipertuturkan sebaliknya prejudis dan diskriminasi walaupun sesama Muslim yang terjadi.

Akhir sekali, mengenai kes yang paling sensasi di bulan Ramadan iaitu stoking kalimah Allah. Posisi saya di sini jelas mempersendakan agama adalah tindakan terkutuk dan memang seharusnya dihukum. Tetapi hukumannya tidaklah semberono atau melulu kerana banyak yang boleh dipersoalkan. Inilah peluang medan dakwah untuk membuktikan wajah sebenar Islam yang penuh kedamaian dan kelembutan. Boikot memang perlu terutama sekali pada pemodal yang menindas hak pekerja dan diperlakukan sewenangnya. Usaha boikot juga tak perlu dilapisi dengan ungkapan seperti kafir, murtad dan sebagainya. Juga harus difikirkan pekerja-pekerja yang mendapatkan gaji bagi menyara hidup mereka.

Jika tidak berfikir panjang, apa yang membezakan Islam dari yang lainnya? Sepatutnya siasatan berlangsung dahulu sudah mendapat keputusannya barulah tindakan dilakukan. Itulah rasional bukan sebaliknya. Saya kurang senang apabila ada yang mengejar dan mengherdik walaupun permohonan maaf secara terbuka, tindakan undang-undang telah dilaksanakan dan siasatan giat dijalankan. Ramai yang mahu menyebarkan suara kemarahan dan kebencian dan tidak ramai yang mahu mempromosi suara kelembutan dan kerasionalan.

Kesimpulan
Kita perlukan hari ini bukanlah kemarahan ataupun api perkauman tetapi pendidikan publik dalam mencerahkan kekusutan yang dialami. Kita tidak perlu mencipta musuh sebaliknya menjadi sumber kelembutan terutama sekali ditengah-tengah Ramadan. Saya tutup tulisan ini dengan Pesanan Abdurahman Wahid atau Gusdur “Allah itu Maha Besar, ia tidak memerlukan pembuktian atas kebesaran-Nya. Ia Maha Besar kerana Ia ada, apa pun yang diperbuat atas diri-Nya, sama sekali tidak ada pengaruh atas wujud-Nya dan atas kekuasaan-Nya”