Feminisme Bukan Gelombang: Kesedaran, Diskriminasi, dan Lensa Korektif

Pendahuluan: Jerat persoalan Gelombang Feminisme

Apabila feminisme dibincangkan di Malaysia, soalan yang sering berulang ialah: feminisme ini tergolong dalam gelombang yang mana? Adakah ia gelombang pertama, kedua, ketiga, atau keempat? Pertanyaan sebegini kelihatan mudah, tetapi sebenarnya ia adalah jerat yang membuat feminisme sentiasa perlu mempertahankan diri. Ia mengalihkan perbincangan daripada inti feminisme iaitu kesedaran dan perjuangan melawan diskriminasi kepada soal kategori, label, dan kotak.

Penolakan feminisme di Malaysia sering bermula di sini: dengan menyoal feminis dengan “ anda adalah wave mana,” lalu mencari kelemahan setiap gelombang sebagai alasan untuk menolak keseluruhannya. Gelombang pertama dikatakan terlalu liberal, gelombang kedua terlalu marah, gelombang ketiga terlalu bercelaru, gelombang keempat pula ditolak kerana dianggap memberi ruang kepada LGBTQ. Tetapi hakikatnya, feminisme tidak pernah berhenti bergerak kerana diskriminasi tidak pernah berhenti wujud.

Fenomena ini menunjukkan betapa feminisme sentiasa disoal berlebihan berbanding disiplin lain. Kita tidak pernah menyoal penganut Marxisme dengan soalan seperti: “Gelombang ke berapa kamu?” Kita tahu Marxisme ada pelbagai aliran; Leninisme, Trotskyisme, Gramscian , tetapi nilai asasnya jelas: realiti material, nilai buruh, dan dialektik sejarah. Begitu juga sosialisme, liberalisme, atau ideologi lain; semua berkembang, bercabang, dan berdebat, tetapi tidak pernah ditolak bulat-bulat kerana “aliran” tertentu.

Feminisme pula berulang kali dipaksa menjawab persoalan bentuk dan evolusi. Sedangkan inti feminisme bukanlah kotak kategori, tetapi lensa yang menyoal dunia. Ia adalah disiplin kesedaran yang berpijak pada pengalaman hidup diskriminasi dan marginalisasi, bukan sebuah “isme” beku.

Jika anda mahu memahami, gelombang feminisme hanyalah tanda aras kesedaran pada zamannya.

  • Gelombang pertama lahir kerana pada masa itu hak-hak formal hanya milik lelaki.
  • Gelombang kedua muncul apabila isu tubuh, pekerjaan, dan keluarga menjadi medan diskriminasi baru.
  • Gelombang ketiga memperluaskan suara kepada identiti yang pelbagai, melawan homogenisasi “perempuan.”
  • Gelombang keempat pula menekankan interseksionaliti, dunia digital, dan keterlihatan isu LGBTQ.

Namun, gelombang bukanlah sempadan mutlak. Ia hanya mencatat tahap perjuangan tertentu. Apabila satu masalah ditangani, kesedaran bergerak kepada masalah lain yang masih tertinggal. Maka feminisme adalah kesinambungan, bukan kotak.

Feminisme Sebagai Lensa Diskriminasi dan Grounded Philosophy

Apa yang membezakan feminisme daripada ideologi lain ialah titik tolaknya. Liberalisme bermula daripada ideal kebebasan individu; sosialisme menekankan pemilikan kolektif; marxisme berpusat pada material reality dan kelas buruh. Feminisme pula lahir daripada kesedaran ketertindasan. Ia bertanya: siapa yang ditindas, bagaimana diskriminasi dialami, dan mengapa pengalaman itu dipadam?

Inilah sebab feminisme menjadi lensa terawal yang membongkar diskriminasi secara sistemik. Ia menegaskan bahawa dunia selama berabad-abad telah dibentuk oleh pengalaman lelaki cisgender, lalu dianggap “universal.” Feminisme membuka ruang untuk menyedari bahawa pengalaman itu tidak sejagat. Pengalaman perempuan, queer, dan kelompok marginal lain perlu dilihat sebagai sebahagian daripada realiti kemanusiaan.

Interseksionaliti memperkukuh lensa ini. Identiti seseorang tidak hanya ditentukan oleh gender, tetapi bersilang dengan kelas, etnik, agama, atau orientasi. Feminisme membantu menyingkap sisi diskriminasi yang tidak dapat dijelaskan oleh lensa lain. Marxism boleh menjelaskan kemiskinan kelas, tetapi ia sering gagal menangkap bagaimana diskriminasi gender atau seksualiti memperdalam jurang. Feminisme menambah dimensi yang terpadam daripada analisis tradisional.

Feminisme juga bukan falsafah yang direka-reka daripada privilege intelektual. Ia adalah grounded philosophy iaitu falsafah yang berakar pada kesedaran ketertindasan dan akal nurani. Ia lahir bukan kerana teori abstrak, tetapi kerana penderitaan nyata yang menuntut jawapan dan jalan keluar.

Di sinilah feminisme menuntut dirinya sebagai lensa keadilan. Ia tidak datang untuk menyaingi “isme” lain, tetapi untuk membetulkan titik buta mereka. Ia mengingatkan kita bahawa keadilan tidak boleh ditegakkan hanya melalui teori besar; ia mesti lahir daripada pengalaman mereka yang ditindas. Feminisme adalah suara yang mengingatkan dunia bahawa tiada keadilan tanpa mendengar yang dibisukan.

Lensa ketertindasan yang bersifat gendered menjadikan isu LGBT dan queer sebagai salah satu cabang yang dimasukkan oleh feminisme, dan ia juga menjadikan feminisme sebagai subjek tabu dan haram untuk diterima dan hingga sampai tahap dikafirkan. Lalu tidak jarang kita melihat ramai yang menjustifikasi penolakan terhadap  feminisme kerana “feminisme gelombang keempat” sering berakar pada keterlihatan LGBTQ. Tetapi jika feminisme konsisten sebagai lensa diskriminasi, maka pengalaman LGBTQ adalah sahih: mereka juga mengalami penindasan gendered reality. Dan penolakan ini hanya mensahihkan lagi pengalaman ketertindasan golongan LGBT dan queer kerana ia adalah cara-cara identiti, pengalaman dan realiti mereka cuba dipadam daripada kesedaran, baik kesedaran masyarakat sehinggalah kepada kesedaran golongan ini sendiri. Ia adalah sebuah bentuk gaslighting.

Mengabaikan mereka bermakna menafikan salah satu bentuk diskriminasi paling mendalam pada zaman ini. Feminisme yang menolak pengalaman ini telah mengkhianati prinsip asalnya sendiri.

Mary Wollstonecraft dan Lensa Korektif

Di sinilah relevannya Mary Wollstonecraft, salah seorang ahli falsafah dan pengasas kepada feminisme moden. Dalam A Vindication of the Rights of Woman (1792), beliau menulis bahawa patriarki bukan sahaja menindas perempuan, tetapi juga membuat perempuan menjadi “jahat.” Bukan kerana mereka secara fitrah jahat, tetapi kerana untuk bertahan dalam sistem zalim, mereka terpaksa menginternalisasi patriarki dan melanjutkannya.

Analisis Wollstonecraft adalah pada perempuan kelas menengah dan atas Inggeris dalam lingkungannya. Permulaannya adalah perempuan diajar dan dipercayai bahawa mereka adalah manusia yang rapuh dengan akal yang lemah, dan hanya disosialisasikan dengan kerja-kerja bukan melibatkan akal serius dan intelek, seperti kerja-kerja domestik dan perkara-perkara yang fokus kepada kecantikan dan mencantikkan diri.

Kemudian mereka ini setelah berkahwin dinafikan cinta dan agensi akhirnya menjadi tyrant mothers, menindas anak-anak dengan tanpa asuhan kasih sayang. Mereka melanjutkan mengasuh maskuliniti toksik kepada anak lelaki dan melayan anak perempuan sebagai lebih rendah daripada anak lelaki, membesarkan mereka tanpa kelembutan. Wollstonecraft menunjukkan bahawa patriarki merosakkan kedua-dua gender: lelaki menjadi zalim dengan kuasa, perempuan menjadi zalim kerana kehilangan cinta dan dinafikan akal sihat dan ilmu.

Bagi Wollstonecraft, feminisme membawa tiga prinsip penting:

  1. Kesetaraan asas lelaki dan perempuan — sama kognitif, sama moral, sama sebagai manusia.
  2. Kesedaran diskriminasi sistemik — bahawa ketertindasan membentuk lelaki dan perempuan dengan cara berbeza tetapi saling memudaratkan.
  3. Lensa korektif — feminisme datang untuk membetulkan keadaan ini, bukan sekadar menuding jari. Lelaki dan perempuan sama-sama bertanggungjawab dalam membongkar patriarki.

Wollstonecraft, dengan kata lain, meletakkan feminisme sebagai falsafah korektif. Ia bukan hanya menuntut hak, tetapi juga menuntut manusia kembali kepada keadilan sebagai manusia sejati.

Penutup: Feminisme Akan Terus Hidup

Jika ditanya, feminisme Malaysia ini gelombang mana? Jawapan saya: di mana-mana pun ia bukan gelombang, tetapi kesedaran. Feminisme adalah disiplin yang hidup, falsafah yang berakar pada penderitaan nyata, dan lensa korektif yang menuntut pembetulan berterusan. Selagi ada kesedaran terhadap kesedaran ketertindasan baik pada perempuan konservatif, liberal atau progresif, itulah bibit-bibit feminis dalam diri manusia.

Justerus, selagi ada diskriminasi, selagi ada marginalisasi, selagi ada kezaliman yang dirasakan, feminisme akan terus hidup.  Kerana tujuannya bukan kategori, bukan label, bukan gelombang. Tujuannya adalah keadilan.

Esei ini adalah sambungan dari jawab balas Huda Ramli berkenaan Feminisme dalam Forum yang diadakan oleh Kuliah Buku yang bertajuk ‘Islam, Anarkis dan Feminis yang Aku Percaya’ pada 31 Ogos 2025 di Biblio Press Petaling Jaya. Rakaman forum ini boleh ditonton di Facebook: Kuliah Buku.

Forum ‘Islam, Anarkis dan Feminis yang Aku Percaya’ (Sumber: Kuliah Buku)