Wawasan ‘SHIT’ 2020

Ada satu pepatah arab teman saya ceritakan. Ianya berbunyi begini, Kal khasī yaftakhiru bi zubi Maulāhu. Pepatah ini bermaksud, si sida yang berbangga dengan pelir rajanya. Sida-sida atau pegawai di dalam istana ini telah dikembiri supaya tidak dapat berhubungan badan dengan ahli keluarga raja. Oleh kerana sudah dihilangkan alat jantannya, sudah tidak ada jugalah sifat jantannya lagi. Maka sida-sida ini terpaksa menumpang bangga dengan pelir tuannya, malah untuk bertahan hidup ia membodek sesuatu yang dia tidak ada, iaitu: pelir.

Jika melihat kembali realiti semasa, pepatah atau sebenarnya carutan yang mematahkan hati ini selayaknya kepada siapa patut kita campakkan? Iya, kepada sesuatu benda yang sasterawan negara Shahnon Ahmad gelarkan sebagai PukiMak, atau kata akarnya PM. Juga kepada mereka yang sedang memasang angan jadi pembela kita semua, tetapi kasihannya mungkin dia cuma pengekor kepala taik. Dan kalau pula mereka itu politikus agamawan, dia menjadikan agama sebagai satu kebutohan.

Sebenarnya apa yang telah disumpah Cikgu Shahnon 21 tahun lalu, eloklah diperingatkan semula. Ditulis pengarang dalam Mukadimah novel satira ini, cerita dalam Shit sebahagian besarnya adalah perjuangan barisan taik yang dipimpin oleh PukiMak @ PM untuk mengemutkan keluar Wirawan dari usus besar melalui berbagai taktik kotor yang sama busuknya dengan taik yang kini sudah menjadi budaya barisan taik. Kalau dibayangkan dalam konteks semasa, seruan untuk – berhenti sejenak – ketika kebusukan barisan taik telah pun berlaku dengan busuknya, tidaklah kelihatan murni kerana ia bukan untuk Rakyat. Sebaliknya ia satu bentuk persekongkolan. Ianya pergerakan jahat, yang menurut keinginan Maha PukiMak yang sudah terlebih dulu mengemut keluar dirinya sendiri.

Disambung pengarang, dan akhirnya Wirawan pun terkemut keluar dengan kasar melalui lubang keramat. Dan bila Wirawan terberak keluar, dia disambut mesra oleh Rakyat di luar yang terdiri dari angin, hujan, bumi, mentari, pokok dan manusia. Bila tiba di luar perut, Wirawan segera dibasuh oleh hujan dan langsung dimartabatkan sebagai pemimpin Rakyat di luar perut, khusus untuk berjuang mengeluarkan barisan taik yang dikepalai oleh kepala taik bergelar PukiMak @ PM yang degil tak mahu diri dikemutkan keluar dari lubang keramat itu.

Juga ditegaskan Cikgu Shahnon, tujuan perlawanan hanya satu saja iaitu memaksa lubang keramat mengemutkeluarkan semua lingkaran barisan taik supaya dapat diadili oleh Rakyat.

Sekali lagi kalau dibayangkan Shit 1999 dengan versi Shit 2020, tidakkah kita masih dibelenggu dengan barisan taik yang sama? Yang membezakan kini, politikus agamawan bersama memperakukan kebusukan mereka. Malah perbuatan membusukkan ini dilakukan ketika Rakyat panik dengan wabak. Jadi tidakkah seruan – berhenti sejenak – ketika kemarahan Rakyat sudah berada di puncak, adalah perbuatan bersekutu dengan pembusuk-pembusuk ini? Malah sepatutnya ajakan itu perlu diseru lebih awal, sebelum politikus-politikus pembusuk ini galak berpidato di negeri kritikal wabak.

Malangnya ia tidak berlaku demikian.

Semuanya baik politikus pembusuk mahupun yang dianggap politikus pewangi tergedik-gedik menjengah di tempat wabak dengan alasan demi Rakyat, akhirnya (hasil doa Rakyat yang teraniaya) seorang demi seorang politikus dijangkiti penyakit berjangkit. Kalau ada pun yang tidak terkena, mungkin secara kebetulan saja bernasib baik. Tidak ada yang jujur peduli pada kesihatan dan keselamatan Rakyat merentas kepartian. Bermain politik lebih penting dari duduk semeja ketika itu. Keberanian moral untuk melaungkan protes sosial demi Rakyat tidak berlaku, malah dibiar sepi.

Barangkali kalau Cikgu Shahnon masih ada, beliau akan menyokong jika saya katakan: bukan kewajipan hakiki manusia berjiwa untuk membangun kemudian mengambus kebusukan lubang keramat politikus muda. Yang wajib dinasihatkan pada golongan muda, muda muda, jangan jadi pengampu. Jangan juga ada yang cuba-cuba jadi politikus agamawan muda, pembela semua muda atau neoliberal muda. Jadilah reformis dan humanis muda yang matang, dan berani mempersoalkan kekuasaan. Lebih lagi dalam rencah konservatisme yang masih mengakar dalam masyarakat, perubahan dari atas ke bawah tidak akan pernah dapat tumbuh dengan baik.

Pada ketika ini, kita sememangnya kehilangan permaknaan demokrasi. Malah yang lebih dalam, kita juga kehilangan kepercayaan. Kalau di dalam Shit 1999, Cikgu Shahnon mengumpamakan Wirawan itu adalah seorang sosok. Versi 2020, Wirawan adalah Rakyat sendiri. Walau wataknya berbeza, kedua versi ini tetap memegang pada kepercayaan Cikgu Shahnon yang mengatakan, sejarah dunia telah membuktikan bahawa yang palsu akan musnah akhirnya; diganti dengan yang benar. Yang busuk adalah juga yang palsu dan yang busuk itu pasti akan musnah akhirnya; dimusnahkan oleh kebusukan itu sendiri.

Di dalam Wawasan ‘Shit’ 2020, seperti mahunya Cikgu Shahnon, Wirawan sebenar tidak hanya jadi pemerhati tetapi juga pelaku untuk menghapuskan yang teramat kepala taik ini dari lembaran sejarah. Seruan Cikgu Shahnon di akhirnya adalah harapan yang memberanikan, tujuannya mengisi lebuhraya baru dengan keindahan, keimanan, keadilan dan keikhlasan.

Bersama dengan kejujuran seruan Cikgu Shahnon Ahmad, gelanggang perlawanan dan amarah kepedulian Rakyat ini perlu terus dinyalakan meskipun hanya dengan kain rentang. Solidariti sebenar kita, adalah bantahan keras kepada seruan-seruan yang memurnikan aspirasi barisan taik.

Saya tinggalkan juga artikel ini dengan sajak Unggun Bersih dari Pak Samad selaku Sasterawan Rakyat kerana sajak baginya adalah doa hati nurani.

Semakin lara kita didera bara –

kita laungkan juga pesan merdeka:

Demokrasi sebenderang mentari

sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita – demokrasi luka;

lama duka kita – demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;

suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:

(di Boston dijirus teh ke laut biru):

Tak diperlu gempita sorak yang gebu,

diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;

kini merebaklah nyala unggun itu.