Jujurnya, sepanjang saya membesar jarang sekali saya mendengar Khatijah Sidek disebut-sebut. Baik dalam sejarah perdana – sejarah kanan, mahupun sejarah kiri. Mana-mana pihak pun belum berlaku adil terhadap seorang Khatijah. Ini sebuah tuduhan. Dan tidak saya nafikan, barangkali sayalah yang pekak pengetahuan, sedang Khatijah cuma hadir dalam jurnal akademik demi sebuah pengiktirafan. Atau mungkin, akui sahaja – dunia ini serba lelaki. Di belakang Abdul Rahman yang menjulang merdeka, ada Khatijah yang mahu bangga dengan perjuangannya bersama – dalam keramaian – di Stadium Merdeka. Fikirannya sering ditolak, langkahnya juga sering disadung iri hati dan kemunduran fikiran dalam kepimpinan. Juga – sebagai perempuan, yang sentiasa mahu menjatuhkan Khatijah ialah patriarki.
Dilahirkan di Sumatera ketika Belanda merebut tanah, jiwa perlawanan Khatijah sudah sekian lama tertanam, mengakar dan mekar. Lebih-lebih lagi apabila seorang dara pingitan terdengar-dengar laungan pembebasan oleh Raden Ajeng Kartini. Jiwanya sudah sedia keras mahu melawan. Apatah lagi saat itu, Sukarno ialah besi yang mahu menghentak penjajahan, melaungkan kemerdekaan.
Khatijah ialah seorang perempuan agak radikal. Dia mahukan kemerdekaan dan menurutnya kemerdekaan memerlukan perjuangan. Dan tak ada perjuangan tanpa perempuan. Fikirannya cukup jelas dan cerdas. Ketika ibunya mahukan Khatijah belajar agama kerana selayaknya seorang perempuan (cuma menjadi ibu dan isteri), bapanya menghantarkan Khatijah ke sekolah Belanda. Dalam ruang yang penuh dengan diskriminasi itu Khatijah semakin faham benar kalau kuasa penjajahan tidak boleh tidak mesti ditentang. Apabila warna kulit jadi ukuran, kolonisasi mesti dihapuskan.
Dek rasa cinta yang benar-benar mendalam terhadap pembebasan wanita dan kemerdekaan, pandangan Khatijah tidak terhenti di Indonesia. Saat menerima pelawaan ke Malaya, Khatijah tidak berhati dua. Katanya orang-orang Malaya juga punya saudara di Indonesia, dengan semangat perlawanan demi membebaskan saudara serumpun, Khatijah ke Malaya – mahu meninjau dan membangun wanita di Tanah Melayu. Selepas menyemarak semangat wanita dengan roh perjuangan Sukarno, Khatijah percaya kalau wanita di Malaya juga perlu disemai jiwa kemerdekaan, diatur rentak, disusunkan strategi agar kemerdekaan dapat dicapai. Kemerdekaan takkan mungkin dicapai tanpa campur tangan serta pembebasan wanita.
Dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, Khatijah percaya kalau perempuan mesti turut sama dibawa berjuang. Sewaktu lelaki diajarkan memicu senjata, orang perempuan sudah mesti kenal mesin gan dan bom tangan. Perempuan tidak boleh sekadar duduk di rumah menanti azab penjajah. Kata Khatijah, kelak kalau orang Jepun datang menceroboh rumah, sedang laki-laki tidak ada di baris hadapan, orang perempuan tak dapat berbuat apa-apa. Seorang Khatijah tidak diam-diam bersetuju kalau perempuan letaknya di rumah, berkain sarung, merebus ubi. Dipacu semangat perjuangan, Khatijah tubuhkan Puteri Kesateria Bangsa semasa di negara Garuda. Disusunnya sukarelawan perajurit wanita. Diajarkan mengacu senjata dan berlatih agar kuat dalam dan luaran. Disuntik semangat menerusi laungan kemerdekaan. Dan kalau perempuan dituduh lemah tak berbuat apa-apa, Khatijahlah bakal menyumbat mulut-mulut celaka itu dengan bom tangan. Semuanya kerana Khatijah beriman kalau perempuan dan laki-laki boleh bersama-sama membenam peluru ke dada penjajah.
Sedari dulu sehingga kini, yang selalu membenamkan perempuan sudah tentu patriarki dan misogini. Ia bukan sahaja datang daripada lelaki, ia ikut sama dikukuhkan oleh perempuan dengan patriarki yang mendarah. Apatah lagi, Khatijah mahukan suara perempuan ikut sama melaungkan merdeka sedang kaki melangkah mencapainya. Khatijah langsung tidak berkompromi dengan misogini. Ketika peluru-peluru misogini berkejaran mahu membunuh perempuan, Khatijah bukan sahaja menepis, malah bangkit menghujankan semula dengan peluru yang lebih deras. Khatijah tidaklah sebegitu liar dan angkuh tetapi tetap keras dan melawan. Semasa melatih perajurit wanita, diajarkan para wanita untuk membuang kain sarung yang menjadi simbol sakral keperempuanan kepada uniform berseluar.
Ketika pergerakannya terus diejek dan diperlekeh, Khatijah hantarkan surat dengan gincu dan bedak meminta para pemuda bertukar tempat dengan mereka. Biar mereka menjadi pingitan dan perempuan keluar bertempur. Tidaklah ia tinggal diam tatkala perempuan diremehkan hanyak kerana menjadi perempuan.
Dalam karier politik, Khatijah tidak tunduk kepada pemuda UMNO yang lain. Menurutnya, sekiranya ada pemuda UMNO, maka mesti dimajukan Kaum Ibu UMNO. Kesatuan ini mesti mesra gender dan mendengar suara perempuan. Fikirannya benar-benar mendahului zaman. Isu perempuan mesti ada perwakilan ini masih lagi belum selesai. Ketika Al Quran merakamkan kisah Ratu Saba’ kita masih lagi sesat dalam kegelapan. Saat Aisyah RA menjadi perawi hadis yang maha hebat kita malahan menafikan kesaksian perempuan. Lalu, ketika Hakimah dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM, bergegarlah arasy tuhan-tuhan patriarki. Kita akhirnya lebih mundur daripada Khatijah Sidek yang hidup di era penjajahan. Tidak boleh tidak, di kerusi pembuat polisi, mesti disediakan kerusi kosong untuk perempuan.
“Di kongres UMNO itu, saya kemukakan satu usul : saya minta kongres memberikan hak yang sama kepada kaum ibu seperti juga kaum bapa, kerana dalam UMNO terdapat tiga bahagian – satu untuk kaum bapa, satu untuk kaum ibu dan satu untuk kaum pemuda. Pergerakan kaum ibu dan pemuda berada di bawah kaum bapa ; ini bererti mereka hanya layak mengundi atas perkara tertentu sahaja. Bagi kaum bapa, setiap cawangan boleh hantar dua orang wakil ke kongres, bagi kaum ibu hanya dapat hantar empat orang wakil ke seluruh Malaya!
Semua perwakilan lelaki menentang usul ini yang semacam revolusi kecil di kongres; mereka semua terkejut dan marah. Selepas itu, kaum lelaki dan pemuda bersama-sama menentang kami, kaum ibu. Saya tegaskan bahawa tidak adil bagi pergerakan pemuda juga mempunyai cadangan pemudanya sendiri.”
Khatijah tidak berlapang dada dengan perwakilan yang sedikit. Malah, kaum ibu hanya boleh mengundi perkara tertentu sahaja. Keterbatasan hak ini memudahkan penindasan ke atas perempuan. Khatijah dengan lantang bersuara kalau kemenangan UMNO adalah disebabkan oleh usahanya dan komitmen orang perempuan. Meski akhirnya, UMNO menafikan malah menyisih terus Khatijah dalam perjuangan kemerdekaan. Namun, mesej Khatijah jelas – perempuan mesti sama tinggi rendahnya dengan laki-laki dalam kepemimpinan. Ketika perempuan digelapkan dengan hal-hal domestik sahaja, suara perempuan akan terus perlahan dan akhirnya tak didengarkan.
Menelusuri idea dan pemikiran pasangan Sariah dan Mohammad Sidek ini, mesti ditegaskan kalau Khatijah juga menolak perkauman. Dirinya faham benar kalau kekacauan dan kekalutan dalam kehidupan masyarakat apatah lagi masyarakat yang terpecah-pecah adalah disebabkan oleh imperialisme. Maka, orang-orang tanpa mengira bangsa dan agama harus sepakat mengusir keluar penjajah dan menjulang merdeka di tanah Malaya. Politik perkauman tidak boleh terus dimainkan. Pemain mesti sedar bahawa kesatuanlah menjaringkan gol kemenangan.
‘Pada masa itu, cogan kata pertubuhan terkuat di Malaya, iaitu UMNO, ialah “Hidup Melayu”. Tapi, saya tanya mereka : “Bagaimanakah dengan kaum-kaum lain – orang Cina dan India – apakah mereka tidak harus bangkit bersama?” ‘
Khatijah ikut sama mahu memerdekakan Malaya adalah kerana kepercayaannya kalau Malaya, Indonesia dan Singapura bersaudara. Kita serumpun dan darah yang tumpah adalah darah yang sama. Jiwanya bebas semangat perkauman melainkan rasa cinta kepada pembebasan. Sayang sekali, dengan suara lantang dan jiwa radikal – Khatijah sering dinafikan. Saat UMNO terus disambut dan diraikan khususnya oleh kaum wanita, Khatijah disingkirkan dari perlawanan.
“Rahsia yang telah saya bocorkan ialah saya meminta Tunku melantik saya sebagai pegawai penerangan bagi Kaum Ibu UMNO, tapi ini ditentang oleh Syed Jaafar Albar (kemudian menjadi menteri muda penerangan) yang berkata : “tidak perlu seorang wanita”. Itulah yang dikatakan rahsia besar itu, dan saya sebutkan dalam ucapan saya di perhimpunan agung. Itu saja alasan yang dapat mereka cari dan mereka gunakan alasan itu untuk memecat saya.”
Satu hal yang menarik ketika membicarakan seorang tokoh perempuan, ada satu roh yang hadir dalam setiap satunya – roh keadilan dan kesamarataan. Seperti Kartini, Khatijah ikut sama menolak budaya feudalisme. Krisis kesatuan iaitu sering memandang tinggi darjat dan tidak bersifat membumi menyebabkan kaum ibu tidak mahu ikut serta malah berfikiran kalau mereka ialah melukut. Seketika, Kaum Ibu UMNO ialah kaum elit. Pada saat perhimpunan, mesti dibezakan yang di baris hadapan dan belakang, Tidaklah ia membumi malah terlalu berlagak tuan. Perjuangan pada ketika itu sulit kerana tidak mendapat sokongan perempuan. Khatijah tidak pernah bersetuju dengan budaya ini.
“…ini kerana mereka belum pernah melihat pemimpin wanita seperti saya yang sanggup pergi kepada mereka, bercakap dengan mereka secara sama darjat, tidur baring dan makan minum bersama serta mengambil berat tentang anak-anak mereka. Pemimpin parti politik wanita masa itu biasanya hidung tinggi, berpakaian cantik, berumah dan berkereta besar. Tak dapat bergaul dengan mereka. “
Khatijah terlahir merdeka. Jiwanya merdeka. Fikirannya merdeka. Meski namanya pudar dalam lembar sejarah, tak ada apa yang mahu dikesalkan seorang gadis – anak Minangkabau, kerana “siapakah di kalangan kaum lelaki yang ada rekod lebih baik daripada apa yang telah saya lakukan sebagai seorang wanita?”.




